Selasa, 16 September 2014

Cara-cara menunjukkan kasih sayang anda kepada ibu bapa

Ibu bapa merupakan merupakan insan terpenting dalam hidup setiap manusia. Jasa mereka kepada kita tidak ternilai harganya. Sejak kita dalam kandungan lagi, ibu telah mengendong kita di dalam perutnya selama 9 bulan 10 hari. Apabila tiba masanya, kita dilahirkan. Pada ketika itu, ibu bersabung nyawa untuk melahirkan kita. Bapa pula bertanggungjawab untuk menjaga keluarga kita dengan sebaik-baiknya. Pengorbanan ibu bapa kita juga tidak terhenti di situ sahaja. Oleh hal yang demikian, sebagai anak, kita haruslah menghargai jasa ibu bapa kita dan membalas jasa dan budi mereka. Sebenarnya, terdapat pelbagai cara untuk kita membalas jasa mereka.

Salah satu cara untuk menunjukkan kasih sayang kepada ibu bapa ialah kita hendaklah menyayangi mereka. Ibu bapa kita mengandung, melahir, menyusu, mendidik, mengasuh serta membesarkan kita dengan baik bagai menatang minyak yang penuh. Pada asalnya, kita merupakan insan kerdil yang tidak mengetahui apa-apa mengenai erti kehidupan. Sebagai tanda kita menghargai usaha dan penat lelah mereka, kita haruslah menyayangi ibu bapa kita sebagaimana mereka sentiasa menghadapi ujian kesabaran ketika mendidik kita. Sebagai contohnya, ibu bapa menjaga dan membesarkan kita dalam keluarga yang bahagia dan sebagai anak pula, kita perlu mencurahkan kasih sayang kita kepada mereka terutamanya apabila mereka sudah tua dan uzur. Menurut pakar psikologi, mereka yang sudah tua akan berfikir dan berkelakuan seperti kanak-kanak dan memerlukan kasih sayang daripada anak-anak. Oleh hal yang demikian, kita harus menyayangi ibu bapa kita supaya kita tidak dituduh sebagai anak yang derhaka.

Selain itu, kita boleh menunjukkan sayang kepada ibu bapa kita dengan cara menghormati dan mentaati mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana setelah kita boleh berfikir, ibu bapa kita menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita. Mereka telah mendidik kita sejak kecil bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya.” Apabila kita sudah dewasa, kita telah menajdi modal insan yang berkualiti dengan nilai-nilai murni hasil daripada didikan mereka. Secara tidak langsung, kita bertanggungjawab untuk mengamalkan nilai-nilai murni yang telah kita peroleh. Sebagai contohnya, kita bercakap dengan nada yang rendah apabila berkomunikasi dengan orang tua terutamanya ibu bapa dan menundukkan badan apabila melalui hadapan mereka. Kita juga akan menjadi teladan kepada anak-anak kita apabila kita menghormati orang tua kita. Oleh hal yang demikian, kita hendaklah membalas jasa mereka dengan menghormati dan mentaati mereka sebagaimana mereka menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kita.

Seterusnya, kita boleh membalas jasa ibu bapa dengan menjaga mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa telah membesarkan kita dengan penuh kasih sayang. Sebelum kita diwajibkan sekolah, ibu bapa telah mengajar kita tentang asas kehidupan seperti berjalan, berlari dan pelbagai perkara dalam kehidupan. Ibu bapa juga sering kali menasihati kita agar pandai membezakan yang mana intan dan yang mana kaca. Sebagai anak pula, kita yang merupakan tempat bergantung hidup mereka apabila mereka sudah tua dan uzur. Sebagai contohnya, kitalah yang bertanggungjawab dan berkemampuan untuk menjaga dan memelihara mereka dengan penuh kasih sayang. Tindakan anak-anak pada masa ini yang menghantar ibu bapa ke rumah warga tua pula tidak harus dicontohi kerana ibu bapa yang sudah tua dan uzur akan berasa terisisih dan sakit hati. Oleh hal yang demikian, sebagai anak kita hendaklah membalas jasa ibu bapa kita dengan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya apabila kita dewasa kelak.

Di samping itu, cara lain ialah kita belajar dengan bersungguh-sungguh. Hal ini dikatakan demikian kerana ibu bapa sanggup bekerja membanting tulang dan bersengkang mata untuk mencari rezeki yang halal bagi membesarkan kita. Hasil yang diperoleh kemudiannya digunakan untuk membayar yuran sekolah, asrama dan kelas tuisyen tanpa mengharapkan pulangan dari segi mata wang daripada kita. Sebagai contohnya, ibu bapa tidak pernah mengharapkan harta berjuta ataupun sagu dan emas untuk membalas jasa mereka tetapi pencapaian anak-anak menggenggam segulung ijazah merupakan kegembiraan sebenar mereka. Dalam aspek ini, kita boleh menunaikan harapan mereka dengan menjadi insan yang berguna, berjaya dan bahagia di dunia mahupun di akhirat. Tegasnya, untuk membalas jasa ibu bapa kita, kita hendaklah belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.

Bukan itu sahaja, kita perlu memberikan layanan yang baik kepada rakan-rakan mereka. Hal ini dikatakan demikian kerana budi bahasa dan sopan santun yang kita pamerkan melambangkan kasih sayang kepada kedua-dua ibu bapa kita. Segala teladan dan tunjuk ajar yang diterapkan oleh ibu bapa kepada kita dianggap seperti bagaimana acuan, begitulah kuihnya. Sebagai contohnya, etika kita yang bermoral membolehkan rakan-rakan ibu bapa kita akan berpandangan positif kepada kedua-dua ibu bapa kita. Oleh hal yang demikian, sebagai anak, kita mestilah menghormati rakan-rakan ibu bapa dan melayan mereka dengan baik.

Sebagai kesimpulannya, sebagai seorang anak kita hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada sikap bagai kacang lupakan kulit. Kita janganlah sesekali menderhaka atau melupai jasa kedua-dua ibu bapa kita kerana syurga terletak di bawah telapak kaki ibu. Kasih sayang yang telah dicurahkan serta segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa kita tidak harus lenyap begitu sahaja di hati dan minda kita. Segala jasa yang mereka curahkan tidak mampu kita balas walau dengan harta yang berjuta sekalipun. Kita haruslah membalas jasa mereka sementara mereka masih hidup,selagi nyawa dikandung badan.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar